Tuesday, January 15, 2013

Perkongsian Buku Minggu Pertama Januari 2013




Assalamualaikum sahabat pencinta buku;

Dalam pertemuan hari ini, saya kongsikan serba sedikit empat buah buku yang saya dapat selesaikan membacanya sepanjang minggu pertama tahun 2013. Alhamdulillah dengan izin-Nya, dengan masa yang diberikan, saya dapat mengisi waktu yang terluang dengan membaca buku.

Bagaimana denga para sahabat semua ?, diharapkan pun begitu. Maklum, jika tidak dipaksa diri, mungkin juga saya tidak dapat menghabiskan pembacaan saya.Sekurang-kurangnya waktu yang terluang tidak di isi dengan perkara yang sia-sia dan merugikan.

Oklah, buku pertama yang ingin saya kongsikan;


1)Travelog Minda Tajdid (Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat)

Buku dibeli: Pesta Buku Sinar di Tesco Setia Alam.

Harga: RM16.00 (Sebelum diskaun)

Muka Surat: 207 Muka Surat.

Terbitan: PTS ISLAMIKA Sdn Bhd.

Cetakan: Ketiga 2012

Penulis: Mohd Asri Zainul Abidin.

Habis dibaca: Pertama kali habis dibaca pada 3hb 01 2013, hari khamis malam jumaat,
di surau tempat kerja.

Buku ini sebuah buku travelog, penulis yang terkenal dengan tokoh ilmuan yang sangat disegani dan juga merupakan mantan mufti Negeri Perlis Indra Kayangan. Tulisan dalam buku ini hasil dari catatan-catatan yang beliau tulis semasa percutian di luar Negara, United Kingdom. Sepanjang percutian itu beliau telah berkesempatan untuk mengkongsi catatan untuk masyarakat di Malaysia melalui ruang bicara atau tinta beliau di akhbar perdana dan melalui ruang maya di laman blog beliau. Buku ini terhasil dari kumpulan artikel yang beliau tulis di akhbar dan blog.

Tulisan dan pandangan beliau sering ditunggu-tunggu oleh khalayak, melalui buku ini, pembaca yang ketinggalan dengan tulisan beliau bolehlah memilikinya sebagai koleksi pribadi sebagai rujukan. Kupasan dalam satu-satu isu dalam masyarakat di olah dan di kupas dengan cukup menarik dan mudah difahami.

Bermula dengan tajuk Kembara Mencari Bekalan Perjuangan, Jangan Takut Bawa Pembaharuan, Jumud Mengundang Kebangkitan Liar sehinggalah  catatan terakhir beliau Kembara Merentasi Benua Kehidupan mempunyai minda tajdidnya tersendiri. Tulisan tentang Palestin, menyeru kepada masyarakat terus membuat bantahan melalui apa cara sekali pun, namun dengan batas atau norma-norma yang masih diizinkan oleh undang-undang.

Bagi beliau;

“..Bagi Umat Islam sepatutnya tugas kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita wajib membantu saudar seislam kita yang ditindas ataupun dizalimi dengan harta dan nyawa kita.”

Pada muka surat 208, koleksi gambar kenangan beliau semasa percutian tersebut juga boleh dilihat, warna-warni.

Banyak lagi yang disentuh oleh beliau dalam buku ini yang perlu diambil perhatian oleh setiap umat Islam. Untuk mengetahui lebih lanjut eloklah para sahabat semua memilikinya dari gedung buku yang berdekatan.

Buku kedua;



2) 69 Jam Di Neraka Zionis

Buku dibeli: Program Di Ambang 2013, Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Harga: RM20.00

Muka Surat: 262 Muka Surat.

Terbitan: Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Cetakan: Pertama 2012

Penulis: Norazman Mohd Samsuddin

Habis dibaca: Pertama kali habis dibaca pada 2hb 01 2013, Sabtu, jam 9:10 malam.

Buku hasil tulisan pengalaman sepanjang mengikuti bantuan kemanusian ke Gaza, oleh salah seorang sukarelawan, Norazman Mohd Samsuddin yang  menyertai misi tersebut. Buku 69 jam di Neraka zionis menceritakan detik-detik permulaan perjalanan misi hinggalah detik-detik mencemaskan serangan tidak bertamadun oleh komando Israel zionis di tengah-tengah lautan Antarabangsa sehinggalah detik-detik pembebasan dari tahanan Neraka Zionis Israel hingga sambutan sebagai wira Negara.

Seramai 12 orang wira Negara telah menyertai misi kemanusian bersama-sama dengan rakyat Negara lain serta pelbagai bangsa dan agama. Mereka satu hati demi meneruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Pengalaman yang sungguh menarik ini dirakamkan sepenuhnya di dalam buku ini. Keakraban, persaudaran, kemesraan, tautan kasih sayang sangat indah bila membaca buku ini.

Walaupun berlainan bangsa dan agama mereka tetap bersatu dalam misi kemanusian ini. Rakaman detik-detik serangan kejam dan tidak bertamadun disertai gambar-gambar sungguh mengesankan, pembaca dapat membayangkan bagaimana situasi gawat ketika berlaku serangan tersebut, emosi pembaca terbawa-bawa dan membayangkan andainya pembaca sendiri dalam situasi tersebut, Geram, marah, sakit hati dan pelbagai perasaan yang bergejolak di hati pembaca.

Sungguh kejam, zalim bangsa yahudi zionis ini, mereka bukan sahaja kejam tetapi langsung tidak ada sedikit pun rasa kemanusiaan. Bayangkanlah bila mana seorang daripada sukarelawan mengangkat bendera putih, menunjukkan tanda hentikan serangan, namun hati binatang tentera yahudi zionis terus menerus dengan serangan dan tembakan bertubi-tubi. Kejam dan zalim, itu sahaja bahasa yang selayaknya untuk bangsa yang ganas dan bangsat itu.

Cukup sedikit perkongsian dari buku tersebut, untuk selanjutnya cari, beli dan baca, ikuti dan telusuri satu persatu catatan tersebut. Banyak gambar-gambar terkandung dalam buku ini. Senjata-senjata yang diguna pengganas zionis yahudi juga terdapat di dalamnya. Rasanya tidak rugi memiliki buku yang penuh sejarah ini.

Buku Ketiga;



3) 43 Inspirasi Mendidik Anak

Buku dibeli: Pesta Buku Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.

Harga: RM19.00 (Sebelum diskaun)

Muka Surat: 245 Muka Surat.

Terbitan: Galeri Ilmu Sdn Bhd

Cetakan: Pertama 2013

Penulis: Mohd Hisham Mohd Sharif & Hasifah Zainuddin

Habis dibaca: Pertama kali pada 5.01.2013 jam: 5.14 petang, Sabtu di tempat kerja.

Mendidik anak merupakan perkara yang sangat mencabar, memerlukan kesabaran dan pergantungan dengan Allah SWT sepenuhnya tanpa pertolongannya mana mungkin sebagai ibu bapa kita mampu mendidik dengan sebaiknya. Penulis buku ini memberi suntikan motivasi kepada para ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Cabaran mendidik anak di Negara barat suatu yang sangat mencabar, begitulah cabaran yang dihadapi oleh penulis buku ini.

Penulis merakamkan pengalamanya dalam mendidik anaknya di bumi Australia, segala pahit manis pengalaman mendidik anaknya dinukilkan dengan sangat menarik sekali. Setiap hujung daripada setiap penulisannya disertai tip-tip yang sangat berguna untuk panduan pembaca. Buku ini juga diserikan dengan gambar-gambar penulis semasa di Negara tersebut.
Buku ini mengandungi empat bab, yang mana setiap bab membawakan tajuk yang berbeza; bab pertama lebih kepada bab tentang tarbiah adab dan akhlak, bab kedua tarbiah tentang ibadah, bab ketiga tarbiah tentang iman, bab keempat tarbiah tentang perjuangan dan bab yang kelima rencah kehidupan.

Segala pengalaman penulis boleh diambil manfaat oleh para pembaca yang mahukan setiap anak-anak mereka mempunyai jati diri yang mantap, lebih-lebih lagi dalam mendidik anak-anak tentang perkara agama.

Bagi saya memiliki buku 43 Inspirasi Mendidik Anak merupakan satu keuntungan kerana isi kandungan yang sangat bermanfaat dan boleh dijadikan bahan rujukan dalam mendidik anak. Ia merupakan sebuah lagi buku yang menjadi koleksi buku dalam bilik bacaan saya.
Untuk ibu bapa yang ingin mengetahui lebih banyak isi kandungan buku ini, segeralah mencarinya di gedung buku yang berhampiran.

Buku Keempat;



4)Kemahiran Menulis

Buku dibeli: Pesta Buku Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.

Harga: RM20.00 (Sebelum diskaun)

Muka Surat: 135 Muka Surat.

Terbitan: PTS Professional.

Cetakan: Kedua

Penulis: Goh Ying Soon & Wan Mohd Nazif Wan Mohd Nori

Habis dibaca: Pertama kali pada 5.01.2013, Sabtu Malam, Jam: 10:23 malam.

Buku berkaitan dengan dunia penulisan, ia merupakan sebuah buku yang menerangkan teknik kemahiran menulis e-mel, memo, surat dan laporan. Ia sesuai untuk rujukan oleh para eksekutif termasuk juga para penyelia, pengurus dan pegawai eksekutif. Teknik-teknik setiap penulisan diterangkan dengan sebaiknya.

Sebagai seorang pengurus tentunya memerlukan kemahiran menulis dengan lancar dan baik serta hasil tulisan boleh mempengaruhi pelanggan.untuk menjadi pelanggan utama mereka. Oleh itu hasil penulisan yang baik menjadikan sebuah organisasi itu akan lebih di percayai dan menjadi keutamaan mereka yang mahu berhubungan bisnis dengan mereka.

Setiap organisasi memerlukan staf atau pekerja yang berkemahiran menulis seperti pegawai pemasaran, pegawai eksekutif bahkan penyelia sekali pun perlu mempunyai kemahiran ini. Jadi buku ini sesuai sangat untuk mereka yang mempunyai kerjaya yang berkaitan denga tulis menulis ini.

Jadi apa lagi milikilah buku panduan kemahiran menulis ini. Sesungguhnya anda tidak akan rugi jika memilikinya.

Sekadar ini sahaja yang saya dapat kongsikan dalam dunia pembacaan, semoga empat buah buku yang saya kongsikan serba sedikit ini dapat menyuntik motivasi para sahabat untuk memiliki dan seterusnya menekuni dan mengambil manfaat darinya.

Sampai jumpa lagi dalam perkongsian buku yang lain.

Selamat membaca,

Jom Membaca…Jom Menulis.



Thursday, January 10, 2013

Pesta Buku Kembali Ke Sekolah Kedai Buku Sinar


Buku Lagi








Hujung minggu pada 6hb 01 2013,Ahad. selepas balik dari rumah kakak ipar saya di Bukit Lancung, saya , isteri dan anak-anak terus ke seksyen 18 Shah Alam, pada mulanya saya merahsiakan distinasi yang saya mahu pergi, tapi bila masuk menuju arah ke seksyen 18 terdapat banner penunjuk Pesta Buku Kembali Ke Sekolah, isteri yang duduk disebelah seperti sudah tahu kemana hala tuju saya mahu pergi. “ Oh rupa-rupanya nak pergi sini..” kata isteri saya.

Saya hanya senyum sahaja, tadi beria-ia mahu cepat balik rumah, malam ada ceramah isu-isu semasa, maklum sahaja mahu dengar berita yang sahih di akhbar atau tv sangat susah, jadi dengan adanya ceramah sebegini dapatlah maklumat yang tepat dan benar. Buku punya pasal saya abaikan dulu ceramah isu semasa, bila-bila ada lagi, fikir saya.

Sampai sahaja terus parking di hadapan Plaza Ole-Ole, memang pun jualan buku itu dibuat di hadapan plaza tersebut, ada beberapa khemah yang memuatkan pelbagai buku keluaran Kumpulan Media Karangkraf dan buku-buku terbitan syarikat lain. Apa yang menariknya semua buku dari terbitan syarikat lain pun ada diskaun. Diskaun sehingga 20%, 25% dan 30% (untuk ahli). Memang puas dan menyeronokan melihat buku-buku yang terpamer, lebih puas bila dapat membeli beberapa naskah untuk bahan bacaan dan koleksi bilik bacaan.

Makin bertambah buku-buku dalam bilik bacaan, nampak gaya kena tambah rak lagi, Untuk itu nantilah saya fikirkan. Selama kurang 30 minit lebih berlegar-legar di situ. Isteri macam biasa membeli novel dan buku untuk anak-anak. Alhamdulillah, anak-anak pun menunjukkan minat dengan buku walau pun masih kecil, harap-harap bila sudah besar nanti akan lebih minat dengan buku dan suka membaca.

Selesai membuat pembayaran, kami berlega-legar ke  Plaza Ole-Ole. Di bahagian bangunan atas ada sebuah  kedai buku, saya cuba meninjau-ninjau di situ mana tahu ada buku yang terkini yang saya tengah cari-cari. Alhamdulillah terlihat pula, apa lagi, ambil dan terus bayar. Buku lagi…!, ya itulah perasaan seorang peminat buku, ghairah semakin menjadi-jadi. Tidak pernah jemu untuk tidak memiliki buku. Semoga terus berkekalan sehingga ke akhir hayat hendaknya.

Habis dari situ terus balik ke rumah, niat dalam hati masih sempat mahu ke tempat ceramah, lagi pun masih awal lagi. Sebelum masuk ke kereta, saya membeli nasi lemak kukus dua bungkus untuk makan malam, malas mahu singgah-singgah. Dalam fikiran tidak sabar mahu membelek-belek buku yang sudah dibeli.Anak-anak dalam kereta pun masih belum tidur, layanlah mereka sampai rumah.

Sampai jumpa lagi..!

Jom Membaca dan Menulis.

Tuesday, January 8, 2013

Pesta Buku Malaysia 2013



Jom datang beramai-ramai...!

Karnival Buku Jualan Gudang Karangkraf 2012 (Hujung Tahun)


Seperti biasa setiap hujung tahun pihak penerbitan perbukuan terbesar dalam Negara iaitu Karangkraf mengadakan Karnival Buku Jualan Gudang di permis syarikat itu di seksyen 15 Shah Alam. Pada tahun ini jualan gudang hujung tahun diadakan pada 2,3 dan 4 hb Disember 2012, tiga hari berturut-turut.

Dengan izin-Nya saya dapat berkunjung ke karnival tersebut pada 4hb Disember 2012, hari Ahad yang merupakan hari terakhir karnival tersebut. Orang ramai berpusu-pusu ingin membeli buku dengan diskaun yang sangat berbaloi-baloi, tidak pernah mengecewakan para peminat dan pencinta buku. Satu perkembangan menarik bila melihat begitu ramai masyarakat yang kini mula membudayakan membaca buku. Ini dibuktikan dengan ramainya pengunjung yang membeli buku di karnival tersebut.

Majalah, buku ilmiah, buku agama, novel dan pelbagai lagi jenis buku dijual dengan harga yang semurah RM5, ada juga yang berbentuk pakej terutamanya buku-buku yang masih baharu di pasaran. Peminat-peminat novel juga tidak ketinggalan untuk memiliki koleksi novel yang mungkin sudah tertinggal namun masih dapat dimiliki.

Ucapan tahniah kepada pihak Karangkraf yang sering mengadakan karnival ini. Ia telah menarik minat masyarakat untuk membudayakan amalan membaca. Semoga program seperti ini akan dapat diteruskan. Alhamdulillah, dalam meninjau-ninjau dan membelek-belek buku, dapatlah beberapa naskah untuk dijadikan bahan bacaan masa lapang nanti, tidak ketinggalan isteri pun ada membeli beberapa buah buku novel dan buku untuk anak-anak.

Semoga amalan membaca ini akan berterusan hingga ke akhir hayat kita semua.

# Jangan lupa juga, pihak Karangkraf akan mengadakan sekali lagi Karnival secara besar-besaran pada  1, 2, dan 3hb Feb 2013, bertempat di Perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah alam.

Gambar-Gambar:















Sampai jumpa lagi, teruskan membaca.

Wednesday, January 2, 2013

Selamat Tahun Baharu 2013




Alhamdulillah, masih tidak terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2013 kepada pengunjung blog ini.  Semoga apa yang telah kita usahakan sepanjang tahun 2012 mendapat hasil yang baik dan dapat mengembirakan hati kita.

Jika masih tidak kesampaian apa yang kita hajati sepanjang tahun lepas bolehlah kita sambung pada tahun ini. Apa yang dirancang adakalanya tidak tercapai semuanya. Namun bagaimanapun ia tidak akan mengecewakan kita. Berusaha terus berusaha untuk mencapai apa sahaja hajat dan cita-cita yang diimpikan.

Semoga tahun 2013, akan terus memberi sinaran baharu yang lebih baik dan harmoni buat semua. Tentunya dengan semangat dan azam yang tinggi, setiap antara kita akan beroleh kejayaan yang diimpi. Bagi yang mengimpikan tahun ini mahu membaca buku dengan sebanyaknya diucapkan berbanyak tahniah dan syabas.

Agar apa yang diniatkan mendapat pahala di sisi Allah SWT. Menambah ilmu melalui dunia pembacaan sangat menguntungkan diri sendiri, namun pembahagian masa perlu dirancang sebaiknya agar nanti tidak mengangui tugas-tugas yang penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.Membacalah walau di mana sahaja selagi ada masa untuk kita melakukannya.

Justeru, untuk melakukan amalan murni ini perlulah semangat yang tinggi dan dorongan diri sendiri agar amalan membaca sebati dalam jiwa kita. Insyallah apa yang diimpi dan dicita-citakan akan mendapat kejayaan.

Sekian.

Jumpa lagi !.