Monday, May 21, 2012

Pasar Buku Untuk Penggemar Buku


Jualan buku dari but kereta, santai tapi meriah






Berkonsepkan 'jualan but kereta' iaitu aktiviti menjual pelbagai jenis barang baru dan terpakai dari kenderaan masing-masing, Perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL), di tepi Dataran Merdeka pagi semalam dipenuhi kereta dengan but terbuka berisi buku-buku baru dan terpakai.

Seawal jam lapan pagi hingga 12.30 tengahari, sebanyak 30 kenderaan memenuhi perkarangan PKL dalam program Pasar Buku Kuala Lumpur anjuran Perbadanan Kota Buku.

Buat julung kalinya Perbadanan Kota Buku menganjurkan program ini bagi menghimpunkan penggemar buku dalam aktiviti yang santai dan sederhana.

Menurut pengurus kanan Perbadanan Kota Buku, Razin Abdul Rahman, jualan but kereta yang hanya menjual buku merupakan acara yang  pertama kali diadakan di Malaysia bertujuan menggalakkan penerbit, pembaca, penulis serta penggiat buku untuk menjalankan aktiviti perniagaan dalam suasana yang ringkas tetapi meriah.

"Memang jualan but kereta sudah biasa di Malaysia tapi melibatkan barangan lain. Kalau melibatkan buku, inilah kali pertama di sini.

"Berbanding di luar negara, jualan buku dari but kereta ini memang sangat biasa cuma di Malaysia, ia belum lagi menjadi kebiasaan. Jadi kami mengambil inisiatif mendekatkan masyarakat dengan buku melalui aktiviti ini,"
kata beliau ketika ditemui di program tersebut, semalam.

Melalui aktiviti ini tambah beliau, pemilik buku khususnya penerbit dan penulis boleh menjual karya-karya terbitan mereka dengan harga yang rendah sekaligus menggalakkan pembaca untuk berkunjung ke aktiviti seperti ini pada masa akan datang.

"Kami cuba mudahkan penerbit dan individu untuk menjual buku mereka sebab hari ini mereka tak perlu sewa tapak, hanya maklumkan kepada kami penyertaan mereka. Mereka dapat sepenuhnya hasil jualan buku tanpa sebarang caj dikenakan," katanya.

Razin juga berkata, Pasar Buku Kuala Lumpur akan dijadikan acara bulanan di sekitar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Kota Buku akan mangadakan aktiviti ini sebanyak dua kali sebulan dan boleh disertai sesiapa sahaja.

"Kita akan pilih tempat yang strategik seperti di Taman Tasik Titiwangsa dan kawasan-kawasan rekreasi yang lain,"
katanya sambil melahirkan rasa gembira di atas respons positif yang diberikan orang ramai.

Buku penghibur jiwa

Sementara itu, penyair dan juga pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof Dr. Siti Zainon Ismail menyokong penuh usaha sedemikian dan menyatakan komitmennya untuk turut serta dalam aktiviti yang seterusnya.

Beliau yang turut menjual buku-buku tulisannya dan rakan-rakan seniman lain berkata, aktiviti mendidik dan santai begini sesuai untuk semua golongan.

"Buku merupakan sebahagian dari hidup saya dan saya akan terus menyokong aktiviti seperti ini. kalau kita fikirkan, buku-buku ini memang penghibur jiwa dan memberi ketenangan.

"Saya haraplah semua orang tak kira berpangkat dan berjawatan besar ke, orang biasa ke, tua atau muda, kita sama-sama meriahkan aktiviti begini.

"Contoh bagi saya sendiri, saya boleh terus terus berjumpa dengan anak-anak yang mungkin teringin nak jumpa saya, tapi tak tahu nak cari saya di mana," kata beliau yang ramah dan murah dengan senyuman.

Salah seorang penjual buku, Syikh Sazli Sabri pula berkata, beliau ingin berkongsi buku-buku yang dimilikinya dengan orang lain melalui aktiviti sebegini.

"Saya biasa tinggal di Eropah dan biasa mengikuti aktiviti begini. Jadi saya nak hidupkan budaya ini di Malaysia. Bila kita beli buku, kita hanya baca sekali dan tak ulang lagi. Jadi apa salahnya saya jual semula dengan harga yang murah untuk dikongsi oleh orang lain pula," katanya yang banyak menjual buku cerita kanak-kanak dari dalam dan luar negara.

Selain jualan buku, pasar buku tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan gurindam oleh penulis Mohd Sidek Mohd Dollah atau nama penanya Mas Adeki, bacaan puisi oleh Prof Siti Zainon dan lelongan buku yang dikelolakan pengacara televisyen, penyelidik dan perunding kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Sumber: Harakahdaily

No comments:

Post a Comment