Thursday, October 21, 2010

Penulisan Sebagai Medan Dakwah


Dalam pertemuan hari ini saya kongsikan satu tulisan yang saya dapati dari sebuah laman blog yang saya singgah,rasanya tulisan ini sangat menarik untuk di kongsikan untuk sahabat-sahabat blogger semua,terutamanya yang meminati bidang penulisan.


Menulis untuk berdakwah

Berdakwah melalui pena dan penulisan? Mampukah? Pastinya mampu jika kita bersedia untuk melaksanakannya. Perkara pokok dan yang paling utama adalah mesti mempunyai visi. Seorang penulis muslim perlu menggalas visi untuk melakukan pencerahan melalui tulisan, sentiasa memperbaiki kualiti diri serta meningkatkan keimanan dan ilmu pengetahuan sejajar dengan tuntutan dan pengajaran daripada wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT(Iqra'). Ertinya, seorang penulis muslim mesti berusaha membentuk dan mewujudkan sebuah masayarakat membaca dan menulis dengan matlamat mengislah diri diatas dasar nilai moral yang diredhai Allah SWT.

Tiga perkara yang perlu menjadi sandaran dalam penulisan bagi seseorang penulis muslim adalah :

1. Merujuk kepada sumber utama Islam yang empat iaitu Al Quran, Hadith, Ijma' dan Qias dengan kefahaman yang sebenar agar tidak terpesong daripada landasan Islam.

2. Memastikan penulisan adalah sebahagian daripada ibadah. Islam adalah kaffah, menyeluruh dan meliputi seluruh aspek kehidupan. Menyanggah kefahaman sekular yang menyempitkan ruang lingkup ibadat dan menyahkan agama daripada aspek ekonomi, sosial, politik, kebudayaan dan sastera. Tiada ruang kehidupan yang terkecuali daripada Islam.

3. Selain mengukuhkan kesedaran pembaca terhadap ketuhanan dan dakwah, tulisan seorang muslim juga perlu 'berpijak di bumi yang nyata' dengan kesedaran kemanusiaan, isu semasa dan kemasyarakatan.


Sebagai seorang muslim, jadilah penulis yang muslim. Penulis yang ingin yang menyumbangkan percikan kilau daripada rantaian kata yang disusunnya. Seorang penulis juga mesti bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, baik dunia mahupun akhirat. Sebelum menulis, fikirkan sejenak dengan semasak-masaknya, apakah tulisan ini membawa keredhaan Allah atau mengundang murkaNya? Mencerahkan atau memporakperandakan institusi masyarakat sekitar?

Ingatlah pesanan Dr. Yusuf al Qaradawi, setiap penulis pasti akan mati dan berlalu. Tetapi waktu yang mengabdikan hasil penulisannya. Maka janganlah kalian menulis dengan tangan anda, selain tulisan yang akan dapat membuatkan anda tersenyum ketika anda melihatnya kembali.

No comments:

Post a Comment