Followers

Sunday, May 4, 2014

Minda Sastera Sajak: Khabar Duka Akhirnya



Khabar Duka Akhirnya
( Buat keluarga yang terlibat, juga alfatihah yang pergi tak kembali)

16 hari kami menunggumu
dengan penuh tanda tanya
denga penuh debar di dada
di mana kau  singgah berada
di mana kau menghilang tak jumpa.

Kini, berita duka kami dengari
penuh rasa sedih dan syahdu,
menunggu harap keluarga yang mengasihi
kini MH370 ditemui tapi tak kembali
terhiris hati-hati penunggu setia berita gembira
namun, kecewa akhirnya menuntut keredhaan pada Ilahi.

MH370 terpahat dalam memori duka
setiap ahli keluarga juga masyarakat dunia
sesekali menerjah di minda, tragedi duka lara
MH370 tetap akan menggamit setia hati famili
kerna ada dicinta disayang pergi selamanya
itu semua takdir empunya kuasa di mayapada.

Hanya pada akhirnya...
jika itu benar akhir ceritanya MH370
doa dan alfatihah kami kirimkan buat yang seagama
takziah  buat yang berlainan bangsa dan agama
bersabarlah dalam ujian dunia sementara
yang pergi tetap pergi, kembali tidak sekali-kali
bersabarlah, berdoalah...MH370 tetap dalam memori.

Masshah 2014
25032014
Meru.


Ulasan Tuan Puzi Hadi Terhada Karya-Karya Masshah Yang Tersiar Di Portal eSastera.com Bulan Mac 2014.

KEHILANGAN MH370
MASSHAH dengan dua puisi iaitu MH370 Kembalilah dan Khabar Duka Akhirnya. Pertama, begitu mengharap bersama doa agar MH370 selamat seadanya serta redha, lewat puisinya MH370 Kembalilah:

MH370 kami menanti pasti
kau akan kembali ke sisi
doa dan harapan tetap di hati
namun...andainya kau terkubur bersemadi
akan kami redha walau pedih di hati
benar, kehilangan tak dirancang
kerna itu takdir Tuhan menentukan.

Kedua, penyair mengungkap rasa sedih dan redha dengan khabar duka pada hari ke-16 melalui puisi Khabar Duka Akhirnya (tersiar pada jam 12:47 pagi):

16 hari kami menunggumu
dengan penuh tanda tanya
denga penuh debar di dada
di mana kau  singgah berada
di mana kau menghilang tak jumpa.

Kini, berita duka kami dengari
penuh rasa sedih dan syahdu,
menunggu harap keluarga yang mengasihi
kini MH370 ditemui tapi tak kembali
terhiris hati-hati penunggu setia berita gembira
namun, kecewa akhirnya menuntut keredhaan pada Ilahi.

MH370 terpahat dalam memori duka
setiap ahli keluarga juga masyarakat dunia
sesekali menerjah di minda, tragedi duka lara
MH370 tetap akan menggamit setia hati famili
kerna ada dicinta disayang pergi selamanya
itu semua takdir empunya kuasa di mayapada.

Hanya pada akhirnya...
jika itu benar akhir ceritanya MH370
doa dan alfatihah kami kirimkan buat yang seagama
takziah  buat yang berlainan bangsa dan agama
bersabarlah dalam ujian dunia sementara
yang pergi tetap pergi, kembali tidak sekali-kali
bersabarlah, berdoalah...MH370 tetap dalam memori.


DEDIKASI
MASSHAH dengan puisi Harapan kepada bapanya agar kembali sihat dengan reda dan pasrah kepada Ilahi.

MORAL
MASSHAH dengan puisi Kau Ingat Aku Percaya menterjemah pandangan peribadi kepada suasana politik (?) ke atas seseorang. Penyair menhaggap itu semua anyaman fitnah untuk tidak dipegangi.

PUISI MENARIK – MAC 2014

·         ahkarim, “MARI KITA BERKUMPUL”, Jumaat, 14 Mac 2014, 5:36 PM / Edit terakhir: 5:39 PM
·         Aiza Zizan, “MENUNGGU IZIN TUHAN”, Rabu, 12 Mac 2014, 10:49 AM / Edit terakhir: 10:51 AM
·         ammarhazim, “SUNGAI SARAWAK”, Isnin, 10 Mac 2014, 7:12 PM
·         anbakri, “MH 370 – Sepotong Nota Penghabisan”, Ahad, 16 Mac 2014, 8:17 PM / Edit terakhir: 8:33 PM
·         HaizamOLEK, “Orang Biasa”, Jumaat, 7 Mac 2014, 10:14 PM
·         ibnudinassingkiri, “Pelajaran Permainan Pedang”, Selasa, 18 Mac 2014, 4:10 PM
·         IrwanAbuBakar, “AKU SAYANG KEPADA KAMU, BUMI”, Isnin, 31 Mac 2014, 1:06 AM / Edit terakhir: 1:27 AM
·         mansor bin a hamid, “SAJAK BURUNG BURUNG KECIL”, Isnin, 31 Mac 2014, 12:42 AM / Edit terakhir: 12:44 AM
·         masshah, “Khabar Duka Akhirnya”, Selasa, 25 Mac 2014, 12:47 AM
·         Mokhtarahman, “LAUTAN HINDI”, Khamis, 27 Mac 2014, 12:24 PM
·         Mohd Azmi bin Harun, “Kotak putih MH370”, Isnin, 31 Mac 2014, 10:39 AM
·         Nur Ain Hanis, “Noktah yang Tertulis”, Rabu, Mac 2014, 2:51 AM / Edit terakhir: 3:06 AM
·         SIqram, “Jam Pasir”, Isnin, 3 Mac 2014, 10:01 PM
·         yajuk, “Mencerna Hakikat”, Rabu, 5 Mac 2014, 6:35 PM

Minda Sastera Berita: Sastera Melayu Semakin Menguncup

Gambar: Google Image


BANYAK tanda yang menunjukkan bahawa realiti sastera Melayu semasa berada pada paras yang kurang memberangsangkan. Sastera semasa dilihat kebelakangan ini tidak lebih daripada sekadar rentetan atau kesinambungan daripada perkembangan sebelumnya tanpa memperlihatkan sesuatu kemajuan yang besar dan membanggakan.

Peneliti sastera umumnya menyatukan pendapat bahawa era 1970-an merupakan lonjakan terbaik dalam landskapnya di tanah air. Kemajuan yang dicapai pada waktu itu ketara selepas negara mencapai kemerdekaannya, dan melepas era 1960-an yang menjadi tapak kukuh perkembangan pesat dekad selepasnya.

Penerbitan memainkan peranan penting. Perlu disebut, penanda aras baharu. Terbitnya majalah Dewan Sastera (dieja Dewan Sastra pada awal penerbitannya) pada 15 Januari 1971 memberi nafas yang segar dan menjanjikan dalam momentum pergerakannya. Media penerbitan terus memainkan peranan besar memuatkan pelbagai bentuk penulisan kreatif seolah-olah 'melepas geram' sejak kita beroleh kemerdekaan yang cepat membentuk satu acuan terpenting sastera Melayu era itu.

Pemberian Hadiah Karya Sastera yang juga bermula pada tahun 1971 oleh kerajaan menyuntik dorongan yang sangat luar biasa. Penulis muncul, karya sastera tumbuh di sana sini. Sekiranya penerbitan buku menjadi pencapaian baharu, hasil karya secara stensilan ikut sama menumpang, malahan ada yang diangkat, diberikan hadiah oleh ketinggian tahap ciptaannya.

Selain majalah dan akhbar arus perdana, akhbar tabloid dan majalah yang dianggap picisan turut menyambut meraikan kemeriahan dunia sastera. Tidak syak lagi sastera diberikan tempat yang sedikit terhormat dalam dua dekad sebelumnya.

Pengarang dikenali, buku-buku dicari, selebihnya sastera mula dilihat sebagai boleh memainkan peranan dalam membina masyarakat dan arah pembangunan negara apabila sasterawan didengar suaranya. Banyak seruan yang membina dizahirkan sasterawan baik melalui lontaran pandangan malahan yang jauh tersirat dalam hasil ciptaan.

Entah di manakah silapnya, pemikiran kesusasteraan kemudiannya semakin layu. Banyak yang tersadai dek idealisme yang terbantut. Tidak kurang juga yang berjaya 'didiamkan' pihak berkepentingan. Yang lain beralih arah mencari alur dan rentak kehidupan di lapangan berlainan. Buku-buku yang diterbitkan semakin hilang punca. Kegiatan lebih merupakan redundensi kepada sekian yang ada.

Pemberian Anugerah Sastera Negara, bagi kebanyakan orang pula tidak lebih sekadar melepaskan batuk di tangga. Jangan buat-buat lupa, SEA Write dan beberapa yang lain bukan pemberian asli kita! Anugerah MASTERA pula ketara kurang impaknya sehinggakan seolah-olah tidak dipedulikan sesiapa.

Sastera kita pun mula dimomokkan. Buku lebih cenderung diterbit untuk mengejar keuntungan. Bayangkan sepanjang 10 tahun dekad yang lalu, kita hanya ingat satu judul Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sahaja. Selain itu, seperti kebanyakannya, karya lahir dan menghilang di ufuk pandangan tanpa kesan tanpa bekasnya. Pemberian hadiah lebih hanya untuk menutup mulut pengkritik nakal yang sering kalinya mudah 'meroyan.'

Ketika kemajuan dan perkembangan sastera banyak negara luar terus-terusan mencipta rentak dinamiknya, semakin kita terasakan kerdil tak bermaya. Keadaan lesu sastera Melayu tidak lagi boleh dibiarkan layu terlalu lama. Kita perlu segera bangkit. Masyarakat meminta satu pembaharuan cepat dibina. Seiring transformasi di segenap lapangan dalam pentadbiran kerajaan barang kali penggerak kesusasteraan Melayu patut membentuk anjakannya yang tersendiri juga.

KUNCI

Sastera kita dalam keadaan semasa seolah-olah kehilangan 'induknya'. Maka, rasanya tidak keterlaluan jika dituntut sebuah badan penyelaras yang dikenal pasti untuk memegang ratusan kunci ke arah membangunkan semula kesusasteraan Melayu kita. Badan penyelaras ini boleh dibentuk kerajaan ataupun dijantungkan sebuah NGO seumpama Perkasa. Melaluinya, pelbagai penyelarasan dapat dilaksana.

Pertama, gerakan untuk menentukan hala tuju yang jelas akan orientasi penghasilan karya kreatif negara. la kedengarannya agak besar. Akan tetapi, ia penting difikirkan. Betul, sasterawan dan segala macam karyawan sukar disekat daya kreativiti dan kecenderungan berkarya mereka. Namun, kita perlu mempunyai satu kerangka yang wajar dipenuhi demi mengangkat hasil kesenian kita. Jika pada masa ini karya menjurus kepada perihal remeh-temeh sekitar diri dan peribadi, mengapakah tidak boleh difikirkan satu kecenderungan nasional dalam menggerakkan corak penulisan?

ASAS 50 mempunyai idealisme. Slogan 'Seni untuk masyarakat' yang dibawanya sebagaimana umum ketahui telah mencorakkan hala tuju penulisan. Jika negara mempunyai kepentingan, misalnya ke arah keteguhan jati diri bangsa dengan fikiran universal memperjuangkan kemanusiaan sejagat, mengapa tidak ini dijadikan asas penulisan pengarang dan sasterawan? Kita perlu terus-menerus menjana perkiraan seumpama ini dari semasa ke semasa, dan badan penyelaras ini yang kelak boleh membuka pintunya.

Badan penyelaras ini tidak bersifat menyekat, atau membantutkan, termasuk dalam bidang penerbitan buku. Benar juga hak penerbitan buku merupakan hak persendirian selagi mereka berniaga secara sah di sisi undang-undang.

Namun, kita juga percaya, kita mesti memiliki satu kerangka kerja dan wilayah kecenderungan yang beragenda serta menguntungkan. Sehingga ini, perlu diakui bahawa kita tercicir jauh dari sesuatu matlamat yang kukuh walaupun banyak berita diterima ada penerbit beroleh untung puluhan juta, dan ada pengarang telah kaya raya.

Soal royalti yang adil, soal pemasaran termasuk menghapuskan cengkaman lintah orang tengah yang mencekik, rancangan pembinaan pengarang, memperluas dan mencari kumpulan pembaca berkualiti, soal pemberian segala bentuk hadiah dan anugerah tidak terkecuali memikirkan anugerah-anugerah baharu yang diyakini lebih berimpak, soal promosi karya tempatan kepada khalayak sastera dunia antara lain hendaklah dijuruskan dengan cara yang lebih tersusun.

Setiap yang disebutkan ini penting. Soal sokongan dan dukungan kerajaan dilihat perlu memandangkan pengarang dan persatuan penulis tidak boleh bergerak tanpa dana yang mengizinkan, ilmu tambah kepada pengarang melalui pengajian di universiti atau segala bentuk peluang latihan, wajar dimasuk kira. Semua maklum dan mengakui ada penggerak yang ampuh pada masa kini. GAPENA dan PENA dilihat amat penting. PENA misalnya sedang dinilai kerana menjadi rakan kongsi ITBM (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) yang mula berimpak kerana gerak dayanya yang dinamik.


Selebihnya, kita tidak mudah menyembunyikan rasa bimbang akan kedudukan sastera Melayu suatu hari kelak, hanya gah sebagai sastera akhbar-akhbaran. Pada ketika itu, kita tentu perlu menunggu berdekad-dekad lagi untuk bangun semula bagi mengatur langkah yang serba tak kena dengan mula bertatih sekali lagi!

Saturday, May 3, 2014

Minda Sastera Sajak: Kerja Dengan Bahagia


Kerja Dengan Bahagia

Buatlah kerja yang berfaedah
buat untuk niatkan sebagai ibadah
nanti dapat banyak rezeki murah
sudah pasti Tuhan beri barokah.

Buat kerja jangan marah-marah
jangan sesekali pula ambil rasuah
hilang harga diri serta maruah
hidup  hilang bahagia punah ranah.

Setiap bulan dapat gaji mewah
jangan lupa zakat mahupun sedekah
rezeki berkat bertambah-tambah
jangan lupa untuk diri sebagai hadiah.

Dapat gaji bayar hutang rumah
ada berbaki boleh bawa famili berkelah
usaha lebih, dengan penat lelah
pada Allah tempat mengadu berserah.

Sambil bekerja boleh berdakwah
ingat-mengingati agar hidup tak susah
ditinggal solat tidak, walau kita orang bawah
kelak tak menyesal di sana barzah.

Dalam bekerja sentiasa ingati Allah
agar hati tenang tak keluh kesah
berkerja berbakti tulus ikhlas jiwa bersih
rezeki diberi pasti melimpah-ruah.

Masshah 2014
02052014
Meru.

Friday, May 2, 2014

Minda Sastera Sajak: Nikmat Rejab 1435H




Nikmat Rejab 1435H

Rejab datang kembali
membawa seribu erti
buat kehidupan seorang muslim
kedatangannya amat di tunggu
bagi mereka yang merindui
di dalamnya terkandung pelbagai fadhilat
nikmat dan barokah,
kerana ia adalah bulan kebajikan
dan kebaikan Allah kepada Hambanya.

Marilah kita beramal sebanyaknya
puasa, solat, zikir, berselawat,
bertasbih, beristighfar, membaca Quran
dan segala rupa kebaikan dan kebajikan kita tunaikan
kerana pintunya dibuka seluas-luasnya untuk kita.

Rejab…bawalah kami dalam arus-mu
bawalah kami ke dalam pelayaran-mu
jangan jadikan kami golongan
yang rugi dan alpa tentang besarnya fadhilat-mu.

Tuhan…Kami hamba-Mu amat lemah dan kerdil di hadapan-Mu
bantulah hamba-Mu dalam menyelusuri arus rejab yang deras ini
janganlah kau jadikan kami orang yang ketinggalan dalam bulan-Mu ini.

Rejab ini jadikanlah kami benar-benar menjadi seorang hamba yang bertaqwa
rejab ini jadikanlah kami benar-benar menjadi seorang Pemimpin yang bertaqwa
rejab ini jadikanlah kami benar-benar keluarga yang bertaqwa
rejab ini jadikanlah kami seorang ayah yang benar-benar bertaqwa
rejab ini jadikanlah kami seorang isteri yang benar-benat bertaqwa
rejab ini jadikanlah kami anak-anak yang benar-benar bertaqwa.

Dan biarlah harapan kami ini berterusan
sehingga rejab-rejab yang akan datang
inilah harapan kami pada-Mu Tuhan
dalam rejab kali ini,
terima kasih Tuhan kerana nikmat
dan anugerah rejab untuk kami semua.

Masshah 2014
2052014
Meru.

Thursday, May 1, 2014

Minda Siasah: Video Pilihan Sistem Menindas Rakyat



Sahabat-sahabat bloger sekelian, semoga sihat-sihat selalu hendaknya ya, minda siasah mengirim entri sebuah video ucapan Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Anwar Ibrahim, jika sahabat-sahabat mahu mendengarnya untuk mengetahui apakah pandangannya itu releven silakan menonton video ini, jika sebaliknya, boleh abaikan video ini.

Malah jika ada sahabat-sahabat rasa terbeban dengan harga barang sehingga menyebabkan ekonomi keluarga tidak setabil, dengarkan ucapan dari beliau. Terpulang kepada diri masing-masing. Mahu berpolitik, silakan, mahu tidak mahu berpolitik juga silakan. Hak masing-masing, dijamin di dalam perlembagaan negara.

SELAMAT MENONTON.

Selamat Hari Pekerja 1 Mei 2014



Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada teman-teman dan sahabat sekelian, selamat bercuti sempena menyambut 1 Mei, Hari Pekerja. Kepada pekerja-pekerja yang bertugas di hari cuti ini, saya ucapkan selamat bertugas, yang pastinya pengorbanan yang dilakukan itu amat besar, mudah-mudahan pekerjaan yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Walaupun hari ini, hari cuti untuk mereka, tapi mereka tetap bertugas demi negara, antaranya seperti anggota keselamatan, tentera, polis, kastam, bomba, dan lain-lain. Semoga mereka menjalankan tugas dengan amanah, merekalah yang menjaga perairan dan sempadan negara, 24 jam mereka laksanakan tugas itu, ternyata pengorbanannya amat besar sekali. Syabas diucapkan kepada anggota keselamatan negara kita.

Bagi yang bercuti, walaupun bercuti hari ini, bukanlah bermakna kita boleh duduk-duduk, santai-santai tanpa membuat apa-apa kerja rumah. Mesti ada kerja-kerja rumah yang belum selesai, kemas rumahlah, bersihkan halaman rumahlah, bersihkan bilik mandilah, bersihkan tandaslah dan macam-macam lagi perlu dilakukan kerja tersebut. Membantu isteri buat para suami, biar pun hari ini cuti, cuci baju, cuci kereta, dan lain sebagainya.

Selesai buat kerja-kerja tersebut baharulah boleh rehat-rehat dan santai-santai. Jika rajin bolehlah keluar jalan-jalan bawa anak-anak, maklum seharian bekerja setiap hari, jadi hari ini bercuti, ada peluang untuk bersama anak-anak, tentu mereka suka. Mungkin boleh bawa anak-anak ke pesta buku yang sedang berlaku sekarang. Atau pergi berkelah di mana-mana distinasi perkelahan yang menarik seperti Port Dickson. Terpulanglah pada masing-masing mahu bagaimana cuti 1 mei ini dimanfaatkan.

Oh, ya ada yang pergi demontrasi hari ini, terpulanglah hak masing-masing dijamin oleh perlembagaan negara, selagi mana tidak memudaratkan pergilah, tunjukkan perasaan anda terhadap perkara yang anda tidak persetujui, namun begitu jagalah adab-adabnya. Usah membuat onar dan perkara-perkara yang dilarang sudah. Di harapkan demontrasi yang berjalan nanti berjalan dengan aman dan teratur.

Bak kata, macam-macam boleh dilakukan bila cuti, jadi manfaatkanlah hari pekerja ini dengan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat. Cukuplah, sekadar ingin memberi ucapan sempena hari pekerja, apa pun syabas diucapakan kepada seluruh pekerja dari semua sektor, sama ada sektor awam, sektor swasta, dan sebagainya, agar bertambah-tambah bersemangat untuk bekerja, pengorbanan anda untuk negara, bangsa dan negara, juga agama, sesungguhnya amat dihargai. Syabas!.


Semoga juga apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan mendapat pahala dan redha dari Allah SWT. Niatkanlah setiap pekerjaan yang kita laksanakan dengan niat untuk ibadah kerana Allah SWT semata-mata.

DEMI MASA