Followers

Friday, July 27, 2012

Catatan Ramadan (11)




Puasa Adat Atau Puasa Syariat?

Syukur teramat syukur dengan izin-Nya dapat menikmati keindahan dan cahaya Ramadan pada malam ini.Bersolat Isya dan berterawih di surau Darul Muslimin Jalan Jambu   menenangkan  jiwa.Malam ini (Rabu-25/07/2012) dapat bersama para jemaah mendengar majlis ilmu selepas solat terawih.Begitulah indah dan serinya Ramadan di pelbagaikan dengan siri aktiviti yang sangat bermanfaat.Majlis ilmu sebahagian dari taman-taman syurga,rugi rasanya bila tidak menyertainya.

Dengan bekal kekuatan jiwa yang Allah bekalkan,Alhamdulillah malam ini dapat sirami jiwa yang tandus ini dengan peringatan-peringatan yang penting bagi menyegarkan minda dan menyuburkan hati agar berterusan membuat amal soleh dalam bulan Ramadan ini,Tersentuh dengan imbauanpenceramah,tentang kedatangan Ramadan kali ini.

Kata ustaz,“Ramadan kali ini,yang dulunya bersama-sama kita berterawih,bertadarus quran,solat berjemaah bersama kita,hari ini sudah tidak bersama kita,begitu juga di antara keluarga kita,yang satu ketika bila mana Ramadan menjelma,kita sama-sama terawih dan sebagainya kini sudah tidak bersama kita malam ini,mereka pergi meninggalkan kita terlebih dahulu....”.

Sungguh satu muhasabah diri tentang kematian yang sangat mengesankan diri saya. Terus terbayang wajah-wajah yang di sayangi,yang masih hidup bersama.Wajah Emak Ayah,Isteri dan anak-anak dan saudara-saudara semua yang masih hidup dan yang telah tiada apatah lagi..Satu jentikan emosi oleh ustaz sangat menyedarkan sekali.

Bila kematian menjemput,hilanglah kita dengan orang yang tersayang,juga sahabat yang kita kasihi.Begitulah Ramadan ini.Tiap detik dan saat ada sahaja dikalangan kita yang pergi meninggalkan kita.Setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian.Mahu tidak mahu pasti menjemput kita bila tiba masanya.Banyak peringatan-peringatan dan teguran yang Ustaz berikan pada para jemaah.Teguran ustaz terhadap sikap jemaah,yang mana bila ada majlis tazkirah semua pakat balik,kalau boleh sama-sama tunggu,sama-sama menuntut ilmu.Itu sangat menginsafkan diri saya.

Bila tiba bulan Ramadan maka berbondong-bondonglah umat Islam ke masjid atau surau,meriah dan imarah sekali,tapi amat malang bila mana selesai Ramadan berlabuh meninggalkan kita,maka situasi kembali kepada asalnya.Surau atau masjidmenjadi senyap sunyi kurang meriah dengan orang ramai.Aktiviti seperti kuliah atau tazkirah mula kekurangan jemaah,di mana silapnya; Niat Puasa Kita Ikut Adat Atau Syariat?.

Itulah antara beberapa faktor yang membuktikan puasa yang kita lakukan itu puasa adat dan bukannya puasa mengikut syariat.Niat kita berpuasa juga menjadi persoalan penting untuk kita fikirkan.Matlamat utama niat kita untuk siapa?. Itu lah lontaran yang Ustaz ajukan pada setiap jemaah,untuk saya juga.Niat biar betul dan ikhlas semata-mata hanya untuk Allah SWT. Banyak sebenarnya persoalan dan kupasan yang Ustaz berikan pada malam ini.Semuanya itu membuatkan minda saya banyak berfikir dan bermuhasabah diri.

Banyak input-input yang ustaz berikan,rasa menyesal juga kerana tidak membawa buku catatan untuk mencatat butir-butir mutiara ilmu yang di curahkan oleh ustaz saifudin Jumri. Insyallah mana-mana kuliah atau tazkirah yang akan datang saya pastikan ada buku catatan yang dibawa,sekadar ingatan untuk diri sendiri.

Semoga catatan ringkas ini,jika ada ilmunya dapatlah dimanfaatkan bersama.

Semoga puasa kita di terima oleh Allah SWT.

Amin ...Ya Rabb..!!!

Jom Membaca..Jom Menulis...!

Catatan Ramadan (10)





Ramadan Motivasi Membaca

Syukur dapat dipertemukan lagi,semoga hari yang indah di bulan yang indah ini,bulan yang penuh Rahmat dan keberkahan ini.Kita dapat sama-sama melaksanakan segala perintahnya dengan penuh taat dan reda kepada-Nya.Madrasah Ramadan yang penuh dengan pendidikan dan kelebihannya.Di dalam Ramadan quran di turunkan,sebagai manual panduan seluruh manusia.Ianya mengandungi pelbagai maklumat penting buat Ummat Islam dan manusia sejagat.Ia rahmat buat seluruh manusia.

Iqra, wahyu yang diturunkan oleh malaikat Jibril a.s kepada Junjungan Besar Nabi saw merupakan wahyu yang mengajak agar manusia membaca.Membaca bukan sekadar membaca tanpa ada faedah yang diturunkannya,tetapi perintah itu merupakan perintah yang mengandugi faedah yang besar yang seharusnya di sambut oleh semua manusia seperti mana Nabi saw menerima dan menyambut wahyu itu sebagai satu gagasan yang penting dalam dakwah baginda saw.

Rata-rata Umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadan ini dengan membaca al-quran sebagai menambah amal ibadah yang lain.ia juga amalan yang sangat digalakan.Al-quran sendiri telah merakamkan dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud;

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Quran sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan dari petunjuk serta pemisahan antara hak dengan batil. Maka siapa yang menyaksikan bulan itu,harus puasa dan siapa yang sedang sakit atau dalam berpergian,maka boleh dibayar pada hari-hari yang lain.”

Amalan bertadarus al-quran,di mana-mana,baik di rumah,di ofis,di masjid atau surau secara berjemaah,berseorangan dan sebagainya adalah sangat mulia.Bukan sekadar membaca tetapi memahami tuntutannya apa yang terkandung dalam quran itu.Bukan untuk berlawan-lawan untuk menamatkan pembacaannya tetapi yang penting dari itu segala ajaran dan panduannya itu haruslah diikuti.

Motivasi Ramadan bukan sekadar membaca quran tetapi memberi motivasi untuk kita agar membaca buku-buku yang berkaitan agama.Pelbagai tajuk buku yang berkaitan dengan puasa boleh kita jadikan bahan rujukan,sebagai bahan ulangkaji kita selain dari tazkirah yang di sampaikan selepas solat terawih.

Tajuk-tajuk lain juga boleh di baca bagi mengisi masa yang terluang daripada menghabiskan masa yang sia-sia dengan bermain game melalui mobile phone.Menyusun jadual pembacaan juga amat perlu.Kewajiban membaca quran sudah pasti,malah seharusnya ada dalam jadual pembacaan kita sehari-harian dalam bulan Ramadan.Apa yang penting ia akan berkesinambungan bila tamatnya Ramadan nanti.

Justeru itu,Ramadan banyak hikmah dan pengajarannya,hanya kita yang mahu atau tidak untuk menyambutnya dan meraikannya dengan penuh ghairah,merebut pelbagai ganjaran yang di janjikan oleh-Nya.

Amin..Ya Rabb...!

Jom Membaca..Jom Menulis..!

Thursday, July 26, 2012

Catatan Ramadan (9)




Bazar Ramadan

Diam tak diam dah hampir seminggu kita berpuasa.Dah ramai yang bercerita tentang hari raya,Nak tukar baju baru,langsir baru,kusyen baru malah ada yang mahu tukar kereta baru untuk raya tahun ini.Hebat betul orang kita.Raya..raya..raya..setahun sekali katakana,semuanya mahu baru.Biarkanlah mereka denga dunia mereka.Ada pendirian masing-masing,ada kemampuan masing-masing.Nanti bila kita cakap lebih-lebih dikatanya jaga tepi kain orang lain pula.Tapi tegur menegur itu tugas semua orang.

Ok lah,bukan mahu bercakap tentang perkara di atas,itu sekadar intro sahaja.Sebenarnya mahu berbicara tentang bazar.Lebih terkenal dengan panggilan ‘BAZAR RAMADAN’,mengambil sempena bulan mulia.Sama juga denga promosi sesuatu barangan sempena bulan Ramadan,guna juga ‘PROMOSI RAMADAN’  dan juga yang seumpamanya.Semua mahu dikaitkan dengan bulan yang mulia.Jangan pula promosi benda yang haram sudah seperti di sebuah pasar raya yang mempermosikan minuman keras dengan menyebut promosi sempena bulan Ramadan,itu menghina namanya.



Bazar Ramadan,ada di mana-mana,baik di simpang jalan kampung,di kawasan yang di khaskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),Bahkan di pelusuk tanahair juga seluruh dunia Islam. Malah ada yang bergaduh pasal tempat berniaga,dalam bulan puasa Ramadan pula tu.Sungguh memalukan dan mendukacitakan kita sebagai umat Islam.Semuanya kerana mahukan sebuah bazar Ramadan untuk menjual juadah berbuka puasa untuk orang ramai.Begitulah kisahnya di satu tempat seperti di laporkan oleh akhbar.

Apakah salah wujudnya bazar-bazar sementara ini?.Secara pribadinya tidak salah,buatlah,berniagalah,apa yang penting bersih dan halal , itu jaminannya.Makanan dan minuman yang di jual untuk umat Islam mestilah yang bersih dan halal.Yang menjual juga kenalah jaga adab-adabnya.Tutuplah aurat bagi lelaki dan perempuan,jujur,harga yang berpatutan dan jangan menipu.Makanan semalam usahlah di jual semula.Jika tidak habis yang hari ini,sedekahkanlah di surau atau masjid atau pun sedekahkanlah di madrasah-madrasah yang berdekatan,Jangan di buang atau membazir pula.

Itu sikap yang patut ada pada penjual.Manakala pembeli pula harus berpada-padalah,jangan membazir,beli mana yang perlu kecuali memang ada niat mahu bersedekah maka beli lebih itu tidak salah malah di galakan,memberi makan pada mereka yang berpuasa kan besar ganjarannya.Mentang-mentang puasa macam-macam di belinya dengan pelbagai lauk pauk,kuih muih dan minuman yang mengiurkan tekak.Maklum nafsu hujung-hujung dekat mahu berbuka bila tidak di kawal,akan memusnahkan ibadah puasa kita.Jadi berjimat-jimatlah ketika berbelanja di bazar Ramadan.




Kita mahu salahkan wujudnya bazar seperti ini pun tidak boleh.Masing-masing ingin merebut mencari rezeki lebih dalam bulan Ramadan.Jadi sebagai pengguna dan pembeli bijak-bijaklah mengatur dan mengurus kewangan.masing-masing.Cukupl lah, tanamkan dalam minda kita,membazir kawan setan. Membeli atau berbelanja sehingga kita tidak mampu menghabiskannya bukankah membazir,bila membazir automatik bertemankan setan lah kita.

Kesimpulannya.bersederhanalah dalam kita berbelanja,berbuka dan segala aktiviti yang kita lakukan.Semoga amal ibadah kita di terima oleh Allah SWT.Juga. semoga Bazar Ramadan tidak menjadi tempat untuk kita membuat pembaziran atau  ‘Bazir Ramadan’.

Amin Ya Rabb...!!!

Jom Membaca..Jom Menulis...!

Wednesday, July 25, 2012

Catatan Ramadan (8)





Dua Kegembiraan Milik Siapa?

Tiba-tiba mendapat khabar dari seseorang menyatakan kita akan di bawa bertemu seorang raja.Raja itu sangat menginginkan sangat bertemu kita.Terkejut dengan berita itu,kita rasa seronok,maklum mahu pergi istana,selama ini tak pernah jejak pun ke sana.Maka hari yang di janjikan pun tiba,dengan persalinan nan indah kita di bawah ke istana.Raja begitu gembira denga kedatangan kita,bukan setakat sembah patik tetapi di raikan dengan bermacam hiburan dan aneka juadah yang enak-enak di sajikan kepada kita,makan berhadapan bersama raja.Ah..indah bukan?.Hati gembira girang tidak terkira.

Begitu juga denga orang yang berpuasa,telah dijanjikan dua kegembiraan,yang mana ia hanya untuk orang yang benar-benar berpuasa semata-mata kepada-Nya.

“Dan untuk orang yang berpuasa dua kali masa gembira.yaitu ketika akan berbuka puasa,dan ketika ia menghadap kepada Tuhan(bertemu Allah).

(Bukhari,Muslim)

Waktu berbuka,waktu yang dinanti oleh semua yang berpuasa,dengan rasa sabar menunggunya akhirnya bila sampai waktunya di izinkan untuk berbuka puasa.Nikmat dan lazat ketika itu tidak terkira.Juga bila mana kita bertemu dengan raja,hati gembira tidak terkata.Itu baru raja,gembiranya tidak boleh diungkapakan.Ini pula berjumpa yang mencipta kita,yang memberi rezeki kita,yang memberikan pelbagai nikmat yang banyak buat kita,apakah kita tidak merasa gembira,seronok?.

Itulah istimewanya orang yang berpuasa.Itu pun tidak mahu berpuasa?.

Amin...Ya Rabb...!

Jom Membaca..Jom Menulis…!

Motivasi Buat Pencinta Buku




Sajak: Buku

Buku adalah teman bicara yang pendiam
tatkala sunyi engkau ramah di sisi,
tatkala sibuk engkau setia menanti,
terbuka di atas meja atau tegak berdiri
di rak almari,
sampai aku datang membelai, helai demi helai;
dan dari kulit ke kulit sampai selesai.

Kata orang, engkau adalah amanah bangsa,
mengabdikan luka-luka sejarah,dan kesucian
daulatnya,
menyuarakan mimpi-mimpi rakyat
dan bayangan masa depan.
Engkau bukan sekadar teman, tetapi
pengingat zaman,
tentang akar hidup di dasar bumi, dan
arah pucuk di udara,
supaya orang tidak lupa daratan,
dan bijak mentadbir dunia.

Siapakah yang bijak tidak dicerdikan oleh buku?
Buku adalah guru yang menerangi akal perasaan,
seperti kolam jernih sewaktu terang bulan,
memancarkan keindahan, memancarkan
kebenaran.

Bercintalah dengan buku sewaktu guru tiada,
buku tidak memilih dan memihak kepada sesiapa,
kata-katanya yang baik mengajar orang menjadi
Manusia.

Baha Zain
Febuaru 2012

Tuesday, July 24, 2012

Catatan Ramadan (7)




Bingkisan Dari Negeri Di Bawah Bayu

Syukur Alhamdulillah dengan izin Allah SWT masih diberikan kesihatan dan kesempatan waktu untuk turut sama-sama memeriahkan dan mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini.Kesempatan pada malam ini,dapat menunaikan solat Isya dan solat sunat terawih di masjid as-syarif Meru.Malam ini sengaja saya bersolat di masjid as-syarif,kerana ada tetamu istimewa yang akan menyampaikan tazkirah selepas terawih.

Alhamdulillah solat terawih di masjid as-syarif sangat meriah dan imarah sekali,di mana-mana pun suasananya memang begini,bisik hati saya.Semoga hingga ke akhir Ramadan suasana ini berkekalan.Harapan saya dan mungkin juga harapan orang ramai.Begitulah suasana indah dalam bulan Ramadan,selepas solat terawih ada majlis ilmu.Buat menambah bekal ke akhirat nanti.Menuntut ilmu suatu kewajipan yang mesti di tunaikan,di mana-mana masjid dan surau pun akan mengadakan tazkirah selepas terawih.

Pada malam ini,tazkirah terawih di sampaikan oleh tetamu istimewa bekas penyanyi kumpulan nasyid yang popular ditanahair kita sedikit masa yang lalu,Nazry Johani.Beliau telah bergelangang dalam dunia dakwah setelah keluar dari kumpulan Raihan.Kini aktiviti beliau lebih banyak berdakwah di tanah tumpah kelahirannya,Negeri Sabah Di bawah Bayu,tempat kelahiran beliau di Ranau.Malam ini beliau mewakili AMAL CARE MALAYSIA,satu badan Ngo yang membuat kerja-kerja amal dan dakwah di seluruh tanahair,Sabah dan Sarawak kini sebagai sasaran dakwah mereka.

Nazry mengajak para jamaah beristighfar bersama-sama sambil di selangi satu persembahan slideshow dan tayangan video ringkas menunjukkan kedudukan dan gambaran umat Islam Sabah waktu kini.Rasa sebak dan sangat menyentuh hati melihat perkembangan terkini saudara seagama kita di negeri di bawah bayu,Saya yakin ramai yang menitis airmata melihat gambar-gambar dan video yang ditayangkan.Bagai tidak percaya,begitu sekali nasib kehidupan umat Islam di sabah,setelah sekian lama di bawah pemerintah yang mengaku beragama Islam ,namun nasib keadaan bangsa dan agamanya tidak mengambarkan akan kemajuan yang di gembar-gemburkan selama ini.

Terus terang saya katakan,sungguh pilu dan memilukan.Kemudahan infrastukutur sekian lamanya begitu.Hubungan jalan raya,aduh..begitu kah?. Nazry Johani menyatakan jalan rayanya ada yang berbatu besar,kalau naik kancil habis tinggal rangka.Beliau menyedarkan umat Islam di meru agar menginfakan atau menderma harta yang ada untuk umat Islam di sabah.Betulah ramai orang membuat infaq,derma,sedekah,buat korban dan sebagainya di Negara jiran seperti kemboja dan lain-lain Negara,itu tidak salah,ya baik memang sangat baik,namun hakikat sebenarnya saudar kita seislam di seberang sana juga memerlukan bantuan seperti Negara jiran kita.

Sungguh menyentuh kalbu,kalau mahu di katakana ini rintihan,ya memang ini rintihan umat Islam sabah,Mereka dahagakan ilmu Islam dari para daie atau pendakwah.Malah ada yang puluhan tahun Islam tetapi mereka tidak tahu solat,tidak tahu siapa Tuhan mereka.Aduh..pilunya,tugas siapa kah ini?.Tuhan maafkan aku jika aku tidak mampu untuk menyampaikan dakwah ku untuk mereka,sekadar doa dan derma yang aku mampu berikan..”.Rintih hati ini.Melihat gambar-gambar gereja di setiap tempat dan pelusuk kawasan di negeri sabah,ini membawa makna,golongan kristian tidak pernah jemu dan rehat menyampaikan dakyah-dakyah mereka kepada seluruh penduduk pendalaman sabah,Timbul persoalan di benak saya.Apakah misi kristianisasi mereka sudah berjaya di sabah dan Sarawak?.Sungguh mereka begitu bertungkus lumus menyampaikan dakyah agama mereka.Kita ..?. Masih leka dan lena di buai-buai mimpi indah yang melupakan sudara kita di negeri sabah dan Sarawak.”Ya..Allah maafkan aku hamba yang leka...”.

Ya,sesungguhnya bingkisan Nazry Johani pada malam ini sungguh mengejutkan umat Islam di Meru barangkali.Kutipan derma melalui tabung yang di sediakan menerima sambutan dari para jemaah.Inilah sumbangan dan infaq kami di sini,buat mu,saudara Islam kami di Sabah dan juga di Sarawak.Doa dan harapan kami agar misi bantuan dan dakwah oleh para ngo dan AMAL CARE MALAYSIA di permudahkan oleh Allah SWT demi menyelamatkan akidah dan kehidupan saudara seagama kita.

Nazry Johani mengakhiri perkongsian bingkisan dari Sabah dengan zikir ‘Laillaha’illah’ dan taubat serta doa munajat .Sungguh hening dan menyentuh hati para jamaah.Semoga rayuan dan doa yang di panjatkan di terima dan di makbulkan oleh Allah SWT.Sesungguhnya malam ini adalah malam yang penuh indah dan syahdu buat saya.Moga keinsafan ini terus berkekalan .Ya Rabb..bantulah dan permudahkanlah apa yang hamba mu lakukan ini.Semoga Engkau menerima segala amal bakti kami..”

Amin Ya Rabb..!!!

Jom Membaca..Jom Menulis...!

Monday, July 23, 2012

Catatan Ramadan (6)


Berbuka Bersama Ayah Ibu

Alhamdulillah,sudah masuk dua hari (Ahad-22hb 07 2012/2 Ramadan 1433H) berpuasa,semoga di terima segala amalan kita dan segala aktiviti yang kita lakuakan di kira ibadah oleh Allah SWT. Indahnya Ramadan bila kita dapat bersama-sama dengan keluarga lebih-lebih lagi dapat berbuka puasa denga Ayah dan Ibu.

Ya..Syukur masih dapat menatap wajah kedua ibu bapa.Dalam usia yang sudah lanjut mereka dapat melaksanakan puasa dengan sabar dan tabah.”Ya..Allah Ampuni kedua ibu dan bapa ku,Ampunilah kedua-duannya,berikanlah kesihatan dan kebaikan kepada kedua-duannya..”.

Ayah ibu,itulah mereka sejak kita di lahirkan hinggalah kita sudah dewasa dan mempunyai rumahtangga,dan kini mereka sudah berusia lanjut,masih tidak jemu-jemu melayan kita,melihat layanan mereka pada anak-anaknya yang datang untuk berbuka puasa sangat menyentuh hati.Tidak pernah berubah dari usia kecil hinggalah sudah berumahtangga.Tetap sama,sampai kadang-kadang dia asendiri lambat makan kerana dek’ melayan anak-anak.



Sesungguhnya emak tersangat baik pada saya,emak layan saya sama macam saya masih kecil lagi.Begitu bapa,saya dapat merasainya.Bagaimana perasaan saya seandainya tika dan saat ini,emak dan bapa tidak bersama-sama berbuka puasa.”Ya..Allah..tidak dapat aku bayangkan situasi itu..Ya Rabb..kuatkanlah aku..”.

Sedikit emosi kali ini,seorang anak mengenang kebaikan kedua ibu bapa yang semakin berusia. Namun kasihnya pada anak tidak pernah berubah.Sambil makan berbuka puasa,fikiran melayang-layang mengimbau saat kecil,panggilan emak mengejutkan bersahur masih terngiang-ngiang di benak fikiran ini.Menyediakan juadah sahur seawal tiga atau empat pagi,tanpa rasa jemu dan malas. Sehingga kini pun begitu biar pun hanya berdua.

Ya..itulah tugas seorang isteri juga sebagai emak kepada anak-anaknya.Sungguh besar pengorbananmu emak....Begitu pula bila menatap kedut wajah bapa yang semakin sakit-sakit badan.Makan sedikit,sekadar cukup apa yang ada,tidak seperti yang muda-muda ini,Makan selagi perut mampu menampung makanan,selagi itulah terus di isi.



Khayalan ini,terganggu dengan karenah kedua putera dan puteri yang sedang asyik dengan makanannya.Seronok melihat karenah mereka berdua.Macam mereka berdua berpuasa pula.Semoga kedua-duanya nanti menjadi anak yang soleh dan solehah.Amin..!.Syukur,dapat berbuka puasa dengan Ayah dan Ibu hari ini.Sempat mengambil beberapa gambar untuk kenangan masa hadapan.

Semoga diterima segala amal bakti kita oleh Allah SWT.

Amin Ya Rabb...!!!

Jom Membaca...Jom Menulis...!

DEMI MASA